Pelajar MLEP tidak jadi guru Bahasa Melayu saja

MAHIR DWIBAHASA: Pelajar Muhammad Syakir Moharum (tengah, tiga dari kiri) melihat penglibatannya dalam MLEP mampu terus memperkukuh kebolehannya berkomunikasi dalam kededua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik. Beliau dilihat sedang beraksi semasa pementasan akhir Tepuk Amai-Amai. – Foto BH oleh IQBAL FAIZAL

Ramai yang beranggapan bahawa pelajar yang mengikuti Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) selalunya akan menjadi guru bahasa Melayu.

Inilah salah tanggapan kebanyakan pelajar, menurut pemegang biasiswa MLEP, Encik Muhammad Syakir Moharum, 18 tahun, yang mengikuti program tersebut di Maktab Rendah Pioneer.

“Saya ingin membuktikan bahawa ini tidak benar kerana ada juga di antara pelajar MLEP sebelum ini yang mengorak langkah menjadi doktor misalnya,” ujar beliau yang bercita-cita menjadi pengkaji dasar.

Mentelah lagi, kata naib presiden MLEP itu, penglibatan aktifnya dalam Persatuan Drama Inggeris di sekolahnya memberikan beliau perspektif yang meluas tentang pentingnya kedwibahasaan.

Dan itu, katanya, hanya boleh digarap dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang menitikberatkan penguasaan bahasa Inggeris dan Melayu.

Encik Muhammad Syakir, yang juga sering menjadi pengacara bagi pelbagai acara sekolahnya, merupakan antara 10 orang pelajar yang merangkumi kohort keenam program MLEP di sekolahnya.

Beliau, yang mengambil Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu dan Ekonomi sebagai antara mata pelajaran H1, berpendapat MLEP telah meluaskan pemahamannya tentang identiti dan bahasa Melayu.

Lebih penting lagi, bagi anak muda itu, MLEP telah banyak meningkatkan daya keyakinannya, terutama semasa berinteraksi dengan orang ramai dan membuat persembahan di khalayak ramai.

Sifat kepimpinannya juga dapat diasah dengan pelbagai peluang yang disediakan program itu.

Seperti contoh, beliau perlu bijak menarik rakan-rakannya yang lain untuk mengambil bahagian dalam aktiviti berkaitan bahasa Melayu di luar ruang sekolah.

”Insya-Allah pada Mei ini, para pelajar Melayu sekolah kami akan membuat persembahan dikir barat semasa pelancaran Kelab Masyarakat Keat Hong.

“Memandangkan pelajar MLEP hanya 10 orang, saya perlu mendapatkan penglibatan pelajar Melayu lain di sekolah agar sama-sama turut serta dalam persembahan itu,” katanya.

Discover more from Zam

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading