Pelajar MLEP ikut Sesi Bertemu Rakyat bersama AP

DEKATI MASYARAKAT: Selain bengkel dan sesi seminar, sejak tahun lalu juga, pelajar MLEP di Maktab Rendah Pioneer berpeluang mengikuti Sesi Bertemu Rakyat setiap hari Isnin bersama Anggota Parlimen, Encik Zaqy Mohamad (kanan) – Foto MAKTAB RENDAH PIONEER

Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP), diperkenalkan pada 2001, bertujuan memupuk bakat dwibahasa dan dwibudaya dalam diri pelajar. Bagi maktab rendah seperti Pioneer – yang juga merupakan pusat ketiga menawarkan MLEP – aktiviti yang diadakan bukan sahaja dikhususkan untuk meningkatkan pendidikan mereka, malah juga menyemai nilai-nilai kemanusiaan. Wartawan Berita Harian, SHAHIDA SARHID (sshahida@sph.com.sg) meninjau antara aktiviti MLEP yang dilakukan maktab rendah tersebut.

SELAMA empat minggu, pada setiap Isnin, pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) daripada Maktab Rendah Pioneer diberi peluang mengikuti Sesi Bertemu Rakyat (MPS) bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad.

Melalui sesi itu, para pelajar kohort keenam MLEP sekolah tersebut kini berpeluang bukan saja mendekatkan diri kepada masyarakat, malah lebih memahami dan menghargai tugas AP dalam membantu penduduk setempat.

Ini merupakan antara program MLEP yang diperkenalkan maktab rendah itu sejak tahun lalu.

Menurut guru MLEP, Cikgu Siti Khadijah Mohammed Anis, 37 tahun, melalui kegiatan itu, para pelajar lebih mengetahui betapa bermaknanya tugas seorang AP.

“Lebih daripada itu, para pelajar itu juga kini lebih memahami isu-isu yang membelenggu masyarakat.

“Pengalaman itu juga telah mendorong sebahagian pelajar terus melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan,” ujarnya.

Cikgu Siti Khadijah, yang telah berkhidmat di PJC sejak 12 tahun lalu, yang merupakan guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di sekolah tersebut, berkata ini merupakan antara tambahan kegiatan baru MLEP, selain sesi ceramah, seminar dan perkhemahan bahasa Melayu yang dilakukan sebelum ini.

Selain itu, program MLEP sekolahnya turut mengadakan aktiviti “Windows on Work” atau Jendela Kerja yang dikendalikan Angkatan Karyawan Islam (AMP).

“Pelajar berpeluang mengetahui cara menulis resume dan diberi gambaran tentang beberapa bidang pekerjaan yang popular,” katanya lagi.

Menerusi program sedemikian, menurut Cikgu Siti Khadijah, MLEP secara tidak langsung dapat memupuk nilai kepimpinan dalam diri pelajar dan menjadikan mereka pelajar yang lebih sedar tentang keadaan sekeliling mereka.

Namun, selain aktiviti sedemikian, pelajar MLEP juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti kesusasteraan Melayu lain dan ini termasuk melibatkan diri dalam menghasilkan pementasan tahunan bagi pelajar tahun akhir kohort program tersebut.

Baru-baru ini, mereka telah mementaskan adaptasi pementasan Tepuk Amai-Amai di PJC, yang turut dihadiri tetamu terhormat, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Para pelajar itu mula berlatih bagi pementasan tersebut pada Januari lalu.

“Melibatkan diri dalam pementasan itu membina keyakinan diri para pelajar selain menyemai semangat kekitaan dalam diri mereka.

“Ada antara mereka yang agak malu untuk berbual, apatah lagi berlakon di khalayak ramai, tetapi dengan sokongan daripada teman sekeliling, mereka dapat menonjolkan kebolehan mereka dengan baik,” ujar Cikgu Siti Khadijah.

Sebuah buku antologi kreatif dan esei karya pelajar dan guru MLEP di PJC berjudul Epilog Nilai Bangsa turut dilancarkan.

Buku itu mengetengahkan antara lain cerpen, puisi, esei dan refleksi pelajar MLEP.

Discover more from Zam

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading