Canang kisah ‘Lanang’

GELUT EMOSI TIGA GENERASI: Gandingan (dari kiri) Nurijah Sahat, Dalifah Shahril dan Muhammad Muazzam dalam pementasan ‘Lanang’ meneroka rasa kehilangan orang tersayang, baik yang berpisah dalam perceraian mahupun pergi buat selama-lamanya. 

– Foto MONOSPECTRUM PHOTOGRAPHY

Enam tahun lalu, kumpulan teater Hatch Theatrics ditubuhkan dengan impian mencipta semula dunia seni teater kontemporari Melayu. Bermacam idea dijana, dengan usaha terkini membentangkan isu sosial dan komunikasi antara keluarga berangkai daripada tiga generasi diketengahkan menerusi pementasan ‘Lanang’. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.

Pada usia muda 23 tahun, penggiat teater Muhammad Muazzam terdedah kepada pengalaman bekerja dalam penerbitan kumpulan teater Inggeris dan Cina.

Disebabkan dirinya mendahagakan pengalaman baru, beliau mencuba nasib dalam sesi uji bakat kumpulan teater anak muda Hatch Theatrics.

Kumpulan tersebut mencari pelakon utama bagi drama Melayu Lanang, yang menggunakan beberapa bait dialog bahasa Jawa.

Pementasan yang meneroka hubungan tiga watak dalam keluarga berangkai itu bakal disajikan antara 5 dengan 8 April ini di Taman Warisan Melayu (TWM).

Naskhah itu juga menyentuh tentang perasaan kehilangan orang tersayang dalam hidup, baik berpisah hidup mahupun mati.

Seperti yang dikongsi lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Teater Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) itu:

“Saya sebenarnya ingin teroka budaya kerja syarikat pementasan berbeza khususnya dalam bahasa Melayu.

“Boleh dikatakan segalanya berjalan lancar. Saya senangi kemesraan dan sifat kekeluargaan dalam Hatch Theatrics.

“Saya juga berpeluang bekerja dengan pelakon mapan seperti Nurijah Sahat dan Dalifah Shahril.

“Tambahan pula, saya boleh kaitkan diri saya sebagai anak kepada seorang ibu yang melalui kegetiran hidup bercerai serta pengalaman kehilangan seorang nenek yang dekat dengan saya.”

Lanang tulisan Hafidz Rahman diarah Faizal Abdullah.

Kisah tersebut berkenaan Habsah (lakonan Dalifah), yang kematian ibu dan bercerai dengan suami dalam tempoh setahun. Tanpa suami dan ibu yang menjadi tempat bergantung, beliau kesunyian dan resah.

Anaknya Adi (Muhammad Muazzam) pula sukar berkomunikasi dengan Habsah dek gejolak emosi itu.

Pada masa sama, beliau perlu menyatukan keluarganya agar tidak goyah dek peristiwa demi peristiwa yang menyedihkan.

Hafidz dan Faizal pula melihat kespontanan personaliti Muhammad Muazzam sebagai tepat bagi watak Adi.

“Dari detik dia memasuki sesi uji bakat hinggalah tamat sesi tersebut, dia tak henti-henti berbual.

“Kami sukakan tenaganya dan kesediannya belajar sesuatu yang baru,” ujar Faizal.

Dalifah, 38 tahun, yang aktif dengan kumpulan Teater Kami malah dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik bagi Anugerah Teater The Straits Times tahun ini, berkata:

“Lanang memerlukan banyak permainan emosi wanita. Saya terharu dapat bergabung tenaga dengan orang lama seperti Kak Nurijah dan anak muda seperti Muazzam.”

Nurijah, 55 tahun, yang biasa dilihat memegang watak ibu dalam pelbagai drama televisyen setempat, pula seronok dapat kembali ke pentas teater.

Teater merupakan titik tolak beliau mula berkecimpung dalam bidang lakonan menerusi Kelab Drama Melayu Perpustakaan Negara pada 1980.

“Teater memerlukan kespontanan bertindak dan tidak seperti drama televisyen yang boleh diulang babaknya kalau dirakam dan boleh disunting.

“Jika dulu kami dipesan agar tidak membelakangkan penonton sewaktu di pentas, sekarang ini saya lihat evolusi dunia teater sudah jauh berbeza.

“Tetapi saya senang bekerja dengan anak muda yang banyak idea,” katanya.

Tiket berharga $25 dan $20 (pelajar dan warga emas) boleh ditempah menerusi laman 

http://hatchtheatrics.wixsite.com/hatchtheatrics.

Discover more from Zam

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading